Salam w.b.t dan hai
semua.
Apa khabar semua?
Sihat? Macam mana kehidupan setakat ini? Harapnya semua berlalu dengan baik ya,
InsyaAllah. Rasanya, bila dah baca tajuk kat atas, dah dapat agak kan apa yang
kita mahu tulis di entry kali ini? Kan, kan? Hehehe…. Kita nak kongsi pengalaman
kita menyertai Misi Pasca Banjir kali ini. Ada kawan, Bee yang suruh kongsi
gambar-gambar bila kita berada di Pahang, sebab nak tengok keadaan di sana dan
apa yang kita buat di sana. Tetapi macam segan pula, mungkin macam selekeh
sangat. Hahaha….Entahlah….
Walaubagaimanapun,
kita kongsi di blog je lah ya. Selain daripada kongsi gambar, kita boleh kongsi
dengan lebih mendalam di sebalik gambar-gambar yang diambil. Macam biasa, hanya
ada beberapa keping saja gambar yang kita ambil. Selebihnya, para sukarelawan
yang lain ambil. Okey, stop! Panjang sungguh mukadimahnya!
Kita daftar online
pada 1 atau 2 Januari sebagai sukarelawan bila jumpa link di Facebook, di bawah
Majlis Belia Malaysia (MBM). Kemudian, pada 6 Jan, dalam pukul 9 malam dapat
email dari MBM yang mereka perlukan orang untuk misi dan perlu berkumpul pagi esoknya
di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada jam 9 pagi. Misi bantuan ini akan
mengambil masa 3 hari, dari 7 Jan hingga 9 Jan. Nampak macam tergesa-gesa
tetapi ini yang kita tunggu-tunggukan, memang nak pergi tolong tak kisahlah
siapa yang kelolakan.
Cakap pada emak yang
kita nak sertai misi ini ke Pahang, tetapi emak macam berat hati nak kasi
kebenaran. Emak tanyalah dari mana kita daftar, siapa yang uruskan, berapa
lama, dan berkumpul di mana. Tak banyak sangat soalan ditanya, tapi jauh di
sudut hati kita, kita tahu emak tak setuju. Yelah, entah siapa-siapa yang kita
jumpa nanti, kot risau perkara tak baik berlaku. Tambahan pula, mak risau
dengan bengkak dari kaki kita masih belum surut. Kita pun tak berapa nak ambil
pusing, kita kemas beg baju dan apa yang patut untuk bergerak esok. Sebenarnya,
ini adalah kali pertama dalam hidup kita sertai misi pasca banjir. Macam tak
berapa pasti apa yang nak dibawa, tapi kita bawa jelah apa yang ada. Tak sempat
nak membeli barang yang tiada. Minyak gamat, bam serai, panadol, dan beberapa
bekalan ubat yang lain. Kasut getah takde, so bawa winter boot yang 20 dollar
tu. Hahaha…belasah sajalah.
7 Januari - Hari Pertama
Bertolak dari rumah
dalam 6.30 pagi, dan emak hantar ke TBS. Di sana berkumpul dan jumpa para
sukarelawan yang lain. Untuk misi ini, akan ada tiga buah bas yang akan bawa
sukarelawan ke Kem Bina Negara (KBN) Kuala Lipis yang merupakan tempat tinggal
kami selama tiga hari. Urus setia turut beri taklimat serba ringkas mengenai
perjalanan ke Kuala Lipis. Dalam pukul 10 pagi, kami pun mula bergerak ke Kuala
Lipis, Pahang. Sepanjang perjalanan, lepas berbual dengan Zuliana, kawan baru,
kita pun tidur je sebab mengantuk sangat. Kita sedar pun bila tiba di
Perhentian Bentong. Bila di perhentian, nampak ada beberapa kumpulan konvoi
membawa misi yang sama, membantu mangsa banjir. Ada dari JKM, Bomba, Tentera,
dan ada juga konvoi dari Johor. Ada bas, lori, trak, 4WD, serta kereta. Meriah!
Macam balik raya. Dalam pukul 2.00 petang, kami selamat tiba di KBN.
Makan tengah hari,
solat, taklimat, dan dalam pukul 3 petang kami gerak ke tempat mangsa banjir.
Sebelum bergerak, kita memang tak ingat apa nama lokasi yang dituju. Bila dah
sampai, baru tahu nama kampung tersebut adalah Kampung Aur Gading. Kampung tu dalam
sejam dari KBN dan dalam 4.30 petang baru tiba di tempat berkumpul di mana trak
tentera sepatutnya mengambil kami dan bawa kami ke kampung. Jalan lama dalam
ladang kelapa sawit akan kami lalui sebab jalan utama tak boleh guna sebab
jambatan runtuh. Malangnya, trak tentera tiada sebab diorang pergi mengambil
bekalan makanan dan keperluan lain di bahagian lain kampung tersebut.
Hendak tak hendak,
kami perlu berjalan kaki ke kampung tersebut yang jauhnya dalam 2 km. 2 km, tak
jauh sebenarnya kalau jalan itu berturap dan bersih. Tetapi, jalan tanah merah,
berselut, lecak dan kotor serta penuh simpang-siurnya. Jam lebih kurang pukul 5
petang, dan suasana mulai gelap. Kita berjalan kaki tanpa banyak cakap, sebab
nak jimat tenaga. Tidak lama kemudian, semua sukarelawan tiba di hadapan sebuah
sekolah. Tak silap kita, Sekolah Rendah Aur Gading. Kami dibahagikan kepada dua
kumpulan, lelaki dan perempuan. Perempuan akan bersihkan sekolah, dan lelaki
akan ke kampung. Kita tak tahu kisah orang lelaki. (Tapi esoknya, diorang kata
orang lelaki kena angkat rumah orang kampung yang teralih sebab arus banjir
tolak. Memang tak tergeraklah rumah tu kalau sekadar guna tenaga manusia.
Perlukan jentera lebih besar untuk keluarkan rumah tu dari lumpur).
Meskipun langit mula
gelap dan gerimis hujan mula turun, kerja tetap dijalankan. Sekolah tu macam
dah separuh dibersihkan, tiada selut atau lumpur tebal yang perlu dibuang.
Tugas para sukarelawan, angkat almari, basuh peralatan, buang barang yang tak
diperlukan dan beberapa lagi. Walaupun kedengaran mudah, hakikatnya tak mudah.
Banyak almari, kena angkat ke kawasan lapang untuk dibasuh dan macam-macam
lagi. Kotor, dan kita sedar kita tak bawa sarung tangan. Alahai nasib
badan….doa jelah takde kena apa-apa. Yang kelakarnya, bila jumpa katak dalam
almari, semua orang melompat selamatkan diri masing-masing. Hahaha….Walaupun
penat dan malam mula menjelma, kerja tetap diteruskan. Bila dah jumpa ramai
orang ni, masing-masing ada ragam yang tersendiri. Satu je, memang tak kering
gusi. Kira oraitlah kan, walaupun penat masing-masing masih mampu tersenyum dan
berlawak jenaka :D
Dalam pukul 7.30
malam, semua dah berhenti dan duduk sambil tunggu kenderaan untuk bawa kami ke
tempat bas menunggu. Kita dan 3 orang lain kumpulan pertama yang diangkut 4WD
ke bas melalui jalan yang sama kita lalui untuk sampai ke kampung. Bila naik
4WD, baru kita sedar jalan sangat kecil. Kenderaan yang kita naiki terpaksa
berundur sampai ke sekolah bila bertembung dengan kenderaan lain dari arah
bertentangan. Aduhai… Dalam 8.30 malam, semua sukarelawan dah ada dalam bas dan
bas bergerak pulang ke KBN.
Setelah makan malam,
bersihkan diri, dan solat, kami semua berkumpul untuk taklimat dalam pukul 10
malam. Kami dibahagikan kepada tiga kumpulan, A, B, dan C dan diberi penerangan
untuk perjalanan hari esoknya. Pukul 11 malam, bila dah siap sapu ubat, kita
pun tidur.
8 Januari - Hari Kedua
Hari kedua kita
bermula seawal 5.30 pagi. Lepas solat dan sarapan, naik bas pukul 8 pagi.
Alat-alat membersih dah dimasukkan ke dalam bas. Kami bertolak ke sebuah
kampung yang mengambil masa dalam 2 jam untuk tiba. Kita tak sedar ada jalan
jem dan sekeliling, sebab bila duduk je, kita terus tidur mati. Memang tidak
sedar langsung. Macam kayu, kata member sebelah. Hahaha…
Bila tiba, ada
beberapa kenderaan 4WD, van, dan lori turut tiba pada masa yang sama. Kami
semua diangkut menggunakan kenderaan-kenderaan ini ke kampung yang dinamakan
Kampung Chegar Perah, dalam 8 km. Jalan utama tak boleh lalu, maka bas tak
boleh masuk.
Lokasi berkumpul
atau based kami semua adalah masjid kampung tersebut. Sepanjang jalan ke
masjid, kita tengok rumah penduduk yang terkesan akibat banjir. Ada yang masih
elok, ada yang roboh, dan sampah-sarap bersepah-sepah merata tempat. Kami
bergerak mengikut kumpulan yang telah dibahagikan. Kita dalam kumpulan B yang
mempunyai kekuatan 37 orang. Dari 37 orang, kami dipecahkan lagi kepada tiga
kumpulan kecil. Kumpulan kecil kita dalam 8 orang dan kami dibawa oleh penduduk
kampung ke rumahnya untuk dibersihkan. Mengikut maklumat yang diberi, para
sukarelawan akan membantu membersihkan rumah atau tempat yang tidak mampu
dibersihkan oleh tuan rumah. Mungkin disebabkan mereka terlalu uzur, tak mampu
buat seorang diri, atau rumah terlalu teruk akibat dilanda banjir.
Kumpulan kita pergi
ke rumah penduduk yang tak silap kita namanya Kak Mie, dan kami semua berjalan
kaki sambil bawa alat-alat membersih. Lokasi rumahnya agak jauh dari masjid,
dan agak kelakar sebab sepanjang berjalan, budak-budak lelaki berulang kali tanya,
"Jauh lagi ke Kak?", "Jauh lagi ke Mak Cik?", "Jom
singgah kedai minum dulu kak!". Macam biasa, kita tak banyak cakap untuk
jimat tenaga. Sepanjang jalan, kita turut memerhati kawasan kampung cuba
membayangkan tinggi air banjir dan macam-macam lagi. Menurut Kak Mie, kami
merupakan kumpulan sukarelawan pertama yang masuk kampung untuk membantu
penduduk. Oleh itu, pada pengamatan kita, memang banyaklah kerja penduduk
kampung ini disebabkan tiada bantuan.
Akhirnya, sampai
juga ke rumah kak Mie tersebut. Jalan nak masuk ke rumah pun dah penuh cabaran,
berselut! Redah aje lah. Kami bersihkan sampah-sarap dan juga barang-barang di
luar rumah yang dihanyutkan oleh banjir. Ada banyak tilam, kayu, tikar getah, pakaian,
dan macam-macam lagi. Semua dikumpul di bahagian belakang rumah untuk dibakar.
Sambil-sambil buat kerja tu, banyak perkara mencuit hati yang berlaku. Ada yang
tergolek bila tarik tilam yang berat kerana terlalu basah. Turut ada budak
lelaki yang sedang menyodok sampah terlompat tinggi bila nampak ada makhluk di
sebalik gumpalan sampah. Hahaha...mengucap budak tu. Rupa-rupanya tikus.
Mencicit tikus tu lari. Macam-macam makhluk lain, mengkarung, anak ular tedung,
tikus, lipan, dan cacing pun dah tak serupa cacing. Besar gedabak!
Kak Siti dah macam pembaca berita dah. |
Penat! Tapi kira
okey lah. Lepas tu, mak cik tu bawa kami ke rumah penduduk lain. Kami dibahagi
dua kumpulan, lelaki dan perempuan. Lelaki ke arah lain, perempuan pergi basuh
pinggan mangkuk di rumah lain. Kita pun gembira la juga sebab nak basuh pinggan,
main air, kira macam boleh rileksla sikit, tak perlu nak angkat barang-barang
lagi. Jalan untuk ke rumah penduduk yang untuk dibasuh pinggan mangkuk pun
tidak kurang dahsyatnya. Kaki yang dah mula sakit pun, kita tahankan je. Kami
redah selut, lalu landasan kereta api, dan barulah tiba.
Kedatangan kami
disambut dengan seekor lembu yang berada di belakang rumah penduduk tersebut.
MasyaAllah...kawasan belakang rumah tu memang berselut dan lecak saja.
Sepatutnya belakang rumah tu bersih, diturap dengan batu-batu kerikil. Tapi,
semua hanyut dibawa air banjir. Kata mak cik tu lagi, masa banjir, lembu-lembu
ditambat pada bot dan ditarik sekali masa proses pemindahan. Manakala, ayam,
itik, angsa banyak yang mati. Mungkin sebab dah penat berenang meredah arus
banjir yang deras.
Mak cik tu dah siap
asingkan pinggan, mangkuk, dan cawan untuk dibasuh. Kami diminta untuk basuh
cawan dan gelas. Berbesen-besen cawan dan gelasnya. Pada awalnya, kita ingat
sikit je tuh dan bolehlah basuh pinggan sekali harung. Tetapi, tak mudah
sebenarnya. Cawan-cawan dan gelas-gelas yang berlumpur dibilas dengan air,
basuh dengan sabun, kemudian barulah bilas semula dengan air bersih. Kami
membasuh di tempat terbuka di belakang rumah orang tu yang pada asalnya
merupakan kandang lembu. "Belasah je lah", kata sukarelawan yang
lain. Cawan dan gelas yang sudah siap dibasuh dimasukkan ke dalam rumah. Dalam
dua jam jugalah kami membasuh, dah macam kenduri-kendara. Sukarelawan lelaki
pun turut tiba untuk membantu. Kata mereka, mereka pergi ke rumah orang lain
untuk angkat-angkat barang. Macam nak patah pinggang, katanya. Haha..nasiblah
depa. Pukul 1.30 petang, kami berangkat semula ke masjid untuk makan tengah
hari dan solat.
Lepas selesai makan
dan solat, kami diarahkan untuk mengeluarkan sampah-sarap, bungkus dalam
plastik, dan letak ditepi jalan dan trak sampah akan kutip. Kumpulan kita,
perempuan saja sebab yang lelaki semua dah diambil untuk disuruh buat benda
lain. Berbekalkan dua kereta tolak, beberapa batang shovel, kami pun berjalan
ke rumah-rumah tanya ada sampah untuk dibuang atau tak. Disebabkan penat serta
tak mahu berjalan jauh, kami berlegar di rumah-rumah yang berhampiran dengan
masjid. Banyak sampah-sarap serta barang yang perlu dibuang kami angkat dari
kawasan rumah penduduk dan diletakkan di tepi jalan. Bau? Tak usah cerita lah.
Bayangkan bau tempoyak, belacan, dan pampers baby digaul bersama. Hahaha...Kita
dengan tiada glove serta mask, lagi lah rasa macam tak mampu tahan. Tapi,
kuatkan diri je lah. Dari satu rumah, ke satu rumah kami bergerak. Dalam
perjalanan, ada beberapa sukarelawan lelaki yang sertai kumpulan kami.
Ada rumah nenek ni,
berselut sungguh di sekitar rumahnya. Kita tanya lah, macam mana nak buang
selut ni mak cik? Mak cik tu pun cakap, "Entahlah". Bingung agaknya.
Nenek tu cerita, masa banjir, kucing-kucingnya tak dapat dibawa sekali ke pusat
perlindungan. Selama empat hari kucing-kucingnya duduk atas bumbung rumah, dan
bila mak cik tu balik, makanan tiada nak diberi pada kucing-kucing tu. Kasi
makan biskut je lah. Di bahagian depan rumahnya, bergumpal-gumpal pakaian
kotor. Katanya, nak basuh tetapi mesin basuh rosak. Makanya, biar je lah dulu.
Dia turut membandingkan banjir sebelum ini dan banjir yang baru melanda
kampungnya.
Hujan semakin lebat
dan selepas tu, kami pun bergerak semula ke masjid untuk berteduh. Kelihatan
sukarelawan lain turut berteduh dan makan. Kami duduk berehat sambil menunggu
yang lain pulang dari tempat masing-masing, sebelum bertolak pulang ke KBN. Dalam
pukul 6 petang, kami dah berada di dalam bas dan menuju ke KBN.
Malam tu, lepas
taklimat, duduk-duduk dengan orang lain sambil bertukar cerita dengan
orang-orang hebat yang kita jumpa. Berborak dengan Kak Rahimah, yang merupakan
seorang mahir dengan ilmu pelayaran. Meskipun masih muda, dia dah berlayar ke
banyak tempat, sudah merentasi banyak laut, melalui banyak teluk, mengemudi
pelbagai jenis kapal, dan banyak pengalaman yang menarik. Selain itu, ada yang
pernah praktikal dengan AirAsia. So, tukar-tukar cerita dan sangat
memotivasikan. Pukul 12.00 malam kita pun tidur.
Kiri = Kak Rahimah, Tengah = Zuliana, Kanan = Kak Siti |
9 Januari - Hari Ketiga dan terakhir.
Lepas solat Subuh,
kemas barang-barang sebab nanti lepas Zohor nak bertolak balik ke KL. Selepas
sarapan, kami bergerak ke lokasi. Kita tak tahu nama lokasi selagi belum tiba
ke tempat tu. Kali ini, kami akan bersihkan sekolah. Nama sekolahnya, Sekolah Kebangsaan
Tanjung Jambu, tak silap kita. Dari tempat bas, kami diangkut menaiki lori.
Padat! Tetapi menyeronokkan sebab macam roller coaster bila dah naik lori tu.
Hehehe….
Setibanya kami di
sekolah, kami memulakan kerja pembersihan. Angkat kerusi masuk dewan, dan lepas
tu ada cikgu wanita panggil kita suruh bersihkan peti ais. Kita dengan kawan
pun, ok je. Tak expect apa-apa yang luar biasa. Yelah kan, bersihkan peti ais, mesti
takdelah kotor sangat. Itu dalam kepala kita. Bila tengok peti ais, "Mak
aihhh…". Dalam dua tiga minit jugalah kami merenung peti ais sambil
berfikir macam mana nak bersihkan. Baunya dah lain, air kuning dalamnya, dan
ada ulat kecil-kecil yang macam jejentik kat melekat-lekat dalamnya. Mata kita
dah berair sebab cuba tahan diri daripada muntah, lepas tu kawan ni tolonglah
lap air kuning. Kita pun lap cepat-cepat sambil kembang-kempis hidung. Banyak
kali kena bilas peti ais tu. Dalam sejam, dah settle peti ais tu.
Kami pun turun ke
tingkat bawah cari kerja lain. Banyak kerja mencuci lantai nak dibuat, tetapi
pili air ada satu je. Makanya, berebut-rebut dengan kumpulan lain yang turut
memerlukan untuk membasuh. Lepas berus tangga, kita bergerak ke belakang
sekolah. Kita bergilir dengan kumpulan yang tengah bersihkan belakang sekolah.
Guna water jet buang selut, pastu berus longkang. Selesai dalam 12.30 tengah
hari, kami berkumpul semula untuk pulang ke KBN. Sebelum naik lori, kami
mengambil gambar kumpulan sebagai kenangan di sekolah.
Tiba di KBN dalam
pukul 2 petang, makan tengah hari, bersihkan diri, solat dan bertolak pulang.
Bas berhenti di TBS dalam pukul 6 petang sebelum meneruskan perjalanan ke
Melaka. Kita bersalaman dan sukarelawan yang lain pun dah berpisah membawa
haluan masing-masing. Dari TBS, kita naik KTM untuk pulang ke rumah. Dalam
pukul 9 malam, kita pun tiba di Batang Kali.
Apa yang dapat dari pengalaman ini?
Alhamdulillah,
Alhamdulillah...syukur kepada Allah SWT sebab kita berpeluang untuk sertai
program ini. Bila tengok kat TV, berita, rasa macam hopeless. Bila berpeluang
pergi sendiri tengok situasi sebenar, memang rasa gembira sangat sebab
sekurang-kurangnya bolehlah kita bantu apa yang termampu. Kita ada terbaca di
Facebook, "Malapetaka untuk mereka tetapi rezeki untuk kita semua kerana
berpeluang melakukan kebaikan". So true!
Selain itu, kita
dapat berkenalan dengan orang-orang baru. Banyak nasihat dan panduan yang
mereka kongsikan, memang seronok. Oh! Kita ada juga jumpa SLB-new-hired dan dia
akan ke Texas, US. Sama intake dengan kita. Seronok! Bila dah berbual, rupanya
dia satu kelas di UTP dengan kawan lama kita di MRSM. Sayangnya, kita tak
sempat ambil gambar Chan a.k.a. Fairus. Jumpa juga dengan Zuliana, Kak Rahimah,
Kak Siti. Kak Siti, pada awalnya kita ingat dia umur dalam 28 atau 29 tahun.
Bila dah berbual-bual, rupanya dia tiga tahun muda dari emak kita. Tetapi,
tenaga dan semangat dia sepanjang misi mengalahkan sukarelawan lain yang
berusia 19 tahun. Tabik spring!
Sebenarnya, banyak
lagi cerita yang berlaku yang tidak mampu kita gambarkan dengan perkataan di
sini. Terima kasih kepada sukarelawan-sukarelawan yang berkongsi gambar, ini
semua hak milik mereka. Kita hanya meletakkan di sini untuk memberikan gambaran
di sana.
Secara peribadi,
cabaran utama yang ditempuhi semasa misi ini ialah dugaan untuk mengekalkan
nawaitu sebagai sukarelawan ke lokasi bencana. Macam biasalah tabiat manusia,
bila dah penat, macam-macam yang terkeluar dari mulut, riak wajah pun dah lain.
Oleh itu, belajar kawal diri ya. Kadang-kadang bila dah sampai ke tempat, ada
sesetengah yang semacam pelancong, melihat kawasan sekeliling, mengambil
gambar, berselfie, groufie, dan pelbagai lagi. Tak salah, cumanya sebagai
sukarelawan perlu bersederhanalah dan tak perlulah melebih-lebih. Hal ini
kerana akan membantutkan pergerakan sukarelawan yang lain yang jenuh menunggu.
Selain itu bawalah
kelengkapan yang secukupnya. Antaranya, kasut getah, sarung tangan, baju hujan,
pakaian khas dan bersih untuk solat, dan lain-lain lagi. Jangan macam kita,
terus redah aje.
Oraitlah, rasanya
setakat ini saja perkongsian kita kali ini. InsyaAllah, jumpa lagi di entry
akan datang. Seperti kelaziman, jaga diri semua. Salam w.b.t and chow!
P/S - Balik ke rumah
bukan hanya bawa pulang beg yang dipenuhi baju kotor, tetapi turut bawa pulang
nasihat dan panduan dari orang-orang yang ditemui. Sebagai bekalan untuk kita
menempuhi masa akan datang :D
No comments:
Post a Comment
What is on your mind? Share it with me :D