Assalamualaikum
DUNIA!
Aku tanya apa
khabar? Apa khabar? Apa khabar semua? Hahaha….Kita, Alhamdulillah sihat
walafiat. Cuma batuk-batuk ja. Ok, tajuk di atas dengan terang-benderang
menyimpulkan apa yang ingin dikongsikan dalam entry kali ini. So, tak payah
panjang sangat mukadimahnya. Kita mulakan dengan bagaimana kita boleh terjebak
dengan misi ini.
Kita dimaklumkan
oleh kawan mengenai misi ini oleh seorang kawan, Encik Afdhal dalam 2-3 minggu
sebelum tarikh misi tersebut. Kita pun on aja memandangkan tiada komitmen lain
pada masa itu.
Misi ini dinamakan
Misi Kemanusian Tarbiyah dan Tazkiyah, seperti yang ditunjukkan dalam gambar di
bawah. Tarbiyah bermaksud mendidik, manakala tazkiyah bererti pembersihan. Misi
ini secara umumnya bertujuan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat
dengan petaka banjir di bahagian Dabong,
Kelantan. Empat pihak yang terlibat dengan misi ini, Persatuan Kebajikan
AnNajah Selangor (PKAS), Real Adventure Team (RAT), Ghulam Al-Dakwah, dan Moi
Adventure Team.
Nota - Gambar-gambar kebanyakan dari kamera sendiri dan juga dari facebook PKAS, boleh klik Facebook PKAS untuk tengok lebih lanjut.
16 Januari, Jumaat
Mengikut
tentatifnya, berkumpul di PKAS yang bertempat di Sri Rampai pada 8.30 malam.
Pada awalnya macam blur-blurlah juga sebab tak kenal sesiapa bila sampai tu,
tapi belasah jelah. Ada lebih kurang tiga hari bersama, nanti kenallah.
Sebenarnya bila kita setuju join tu, kita tak tahu pun siapa yang anjurkan.
Kita hanya tanya Encik Afdhal, siapa yang anjurkan, tempat berkumpul, dan waktu
pulang semula ke KL. Malas nak banyak soal. Bila tiba tu, kita memang tiada
idea berapa ramai yang join, pergi naik apa, dan lain-lain. Bila dah sampai
PKAS, baru tanya. Secara ringkasnya, lebih kurang 80 orang akan sertai konvoi
ini menaiki lebih kurang 30 four wheels drive aka powiil, dan sebuah lori. Ok,
got it.
Lepas solat Isyak,
dan dah ramai mula berkumpul di sana. Pukul 9.30 malam dah mula turun ke bawah
tunggu kenderaan masing-masing seperti yang telah disusun oleh pihak
pengurusan. Kita akan naik dengan Chef aka Ijam, mengikut kata kakak-kakak tu.
Makanya, bolehlah minta resepi masakan, gurau kita. Haha...Selain kita, ada
Iskandar, dan Kak Yazma. Pada pengamatan awal kita, kak Yazma macam antara
orang utama misi ini sebab ramai orang bertanyakan pendapat dia. Dalam pukul 11
lebih, dah naik kenderaan dan gerak ke stesen minyak untuk berkumpul dengan
orang lain yang akan turut serta dalam misi ini. Jalan raya sangat padat dengan
kenderaan, mungkin ramai balik ke kampung sempena malam minggu. Ada juga
beberapa pasukan konvoi lain yang menuju ke pantai timur yang membawa misi yang
sama. Dalam pukul 12.00 tengah malam, 17 Januari, semua berkumpul untuk
taklimat dan tazkirah ringkas oleh Ustaz Muen dan ketua konvoi, Encik Aidi kot
namanya. Masa ini, mata kita dah berpinar-pinar tahan mengantuk sebenarnya. Hahaha…
Intipati yang kita
dapat dari tazkirah ustaz tersebut, kita haruslah betulkan niat kita semua
apabila kita bersetuju untuk menyertai misi ini. Selain itu, memanglah tujuan
misi untuk membantu mereka yang terkesan dengan banjir, tetapi yang paling
utama adalah penting untuk kita membantu diri kita sendiri dahulu. Jaga waktu
solat, jaga perlakuan kita, jaga hubungan dengan Allah SWT. Barulah kita layak
untuk bantu orang lain. Hablumminallah, hablumminannas.
Dalam 12.45 pagi,
tayar pun dah rolling. Setiap pemandu powiil akan berhubung menggunakan
walkie-talkie. Kita tanya Chef Ijam, "Biasa ke drive continuously
ni?". Katanya, "Bolehlah". Kita pun ok je dan pesan bawak
elok-elok, kita nak tidur neyh. Hikhikhik…
Lepas berkenalan
serba ringkas dengan Iskandar, Kak Yazma, dan Chef Ijam, kita pun tidur.
Perjalanan ke Kelantan melalui negeri Pahang, dan targetnya sampai ke Gua
Musang dalam waktu Subuh. Kita rasa Kak Yazma tak tidur sepanjang perjalanan
sebab dia macam tengok jalan sambil berborak dengan Chef Ijam. Kadang-kadang
terasa lengan kita ditepuk-tepuk oleh Kak Yazma sambil dia bercakap, macam
cakap dengan kita. Tapinya kita tidur, hahaha...
17 Januari, Sabtu
Setelah berhenti di
beberapa stesen minyak untuk mengisi minyak dan mencari tempat sesuai untuk
solat, akhirnya dalam 6.15 pagi, konvoi semua berhenti di Masjid Gua Musang
untuk menunaikan solat Subuh dan bersarapan. Kita pun bersihkan diri, solat,
dan sarapan bersama dengan lain. Sarapan pagi tu, Nasi Impit, sambal ikan
bilis, rendang ayam, roti sandwich beserta air kopi. Lepas tu, semua konvoi
bergerak ke dataran yang berhampiran dengan masjid dan bergabung dengan Moi
Adventure Team. Moi Adventure Team, diketuai oleh Moi dan mereka memang dah
berada di Kelantan dan standby di sana. Dari Gua Musang, mereka akan ketuai
konvoi untuk ke Dabong sebab mereka lebih arif kawasan ini.
Mengikut kata Chef
Ijam, perjalanan ke Dabong dalam 70 km mengambil masa lebih kurang sejam. Tayar
rolling, kita pun masuk alam mimpi semula. Iskandar satu geng, dia pun membuta
juga. Hahaha.. Bila dah sampai ke Dabong, kak Yazma kejut kitorang tunjuk kesan-kesan
banjir yang melanda kawasan perkampungan. Sepanjang yang kita tengok, ada
kawasan rumah transit yang sedang dalam pembinaan untuk mangsa-mangsa banjir,
hutan yang sepatutnya berwarna hijau telah bertukar coklat, seperti disimbah
dengan cat coklat dan penduduk yang menjalankan aktiviti mereka tersendiri.
Sebenarnya, Dabong
bukan tempat konvoi akan berhenti. Lokasinya dalam dan jauh lagi laluannya,
lalu hutan, perkampungan, dan rasa kita, lama jugalah nak betul-betul sampai ke
based camp. Ada budak-budak yang melambai-lambai bila nampak konvoi kami, dan ada
powiil yang berhenti untuk menghulurkan jajan untuk mereka. Kalau powiil kita
berhenti untuk menghulurkan apa-apa kepada budak, kita selalu cakap kat
budak-budak ni, "Pergi sekolah tak? Belajar rajin-rajin". Dalam hati
doa jugalah suatu hari nanti budak-budak ini akan jadi orang bijak pandai dan
mampu membantu keluarga dorang keluar dari kepompong kemiskinan.
Sepanjang
perjalanan, Moi akan memberikan penjelasan melalui walkie-talkie mengenai
keadaan kampung sewaktu banjir dan ketinggian air banjir pada masa itu. Maka,
konvoi semua pun dapat idea bagaimana dahsyatnya badai air yang melanda
kampung-kampung ini.
Chef Ijam turut
beritahu bahawa Moi and the team merupakan antara yang terawal memberikan
bantuan banjir ke kawasan yang tenggelam dilanda banjir. Menurutnya, mereka
menggunakan backpack untuk mengisi makanan, mereka meredah air banjir yang
tingginya paras dada untuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk yang
terperangkap di kampung-kampung dan juga bukit-bukit. MasyaAllah, kita kagum
dengan semangat Moi dan pasukannya. Kalau air paras dada dorang, kalau badan
kita, dah tenggelam sebab pendek.
Konvoi turut melalui
Kampung Kemubu yang memang betul-betul lumpuh akibat dari amukan air banjir.
Laluan kereta api musnah, khemah-khemah banyak di tepi-tepi jalan,
keluarga-keluarga duduk di hadapan longgokan besar yang mungkin pada asalnya
rumah mereka. Warna coklat lebih mendominasi pemandangan sekitar daripada
warna-warna lain. Kata Chef Ijam, nak tahu tinggi mana air, tengok tinggi mana
warna coklat mewarnai pokok-pokok atau kawasan sekitar. Sejujurnya, memang
tinggi sebab macam pokok yang tinggi pun rebah menyembah bumi.
Kita tengok ada
sungai yang mengalir tenang, tak silap kita namanya Sungai Galas. Tak sangka,
sungai yang tenang tu yang lebarnya tak lebih 5 meter boleh menenggelamkan
keseluruhan kampung yang pada agakan kita radiusnya dalam 0.8-1 km dari laluan
Sungai Galas tu. Kuasa Allah, semua boleh berlaku kalau diizinkanNya.
Dalam pukul 12
tengah hari, konvoi semua tiba di based camp yang merupakan lokasi di simpang
tiga. Ada sebuah madrasah, balai polis kemubu, dan ada sebuah rumah. Moi
arahkan khemah-khemah didirikan, dan masing-masing geraklah buat apa yang
patut. Cuaca sangat panas serta terik, tak berangin dan kering. Mengikut
sukarelawan lain yang memang dah berkampung kat situ, kalau pagi sangat sejuk
boleh jejah 19 darjah Celcius.
Masa tiba tu, kita
pun macam blur pada awalnya, dan tanya, "Nak buat apa neyh?". Yang
laki-laki, pasang khemah. Manakala, mak cik-mak cik yang join konvoi ni semua
duduk berbual dengan team yang memang dah ada kat situ, dan bagi kita sendiri
macam awkward la pulak kalau kita duduk je. Bila kita tengok Chef Ijam dah mula
kasi arahan pada team dapur untuk memasak, kita pun join jelah team dapur.
Sekurang-kurangnya, adalah benda nak dibuat. Kasi lincah sikit badan bila dah
hibernate lama sangat dalam kereta.
Dah siap masak,
makan, solat, dan kata Moi, pukul 3.30 petang, konvoi akan gerak ke sebuah
kampung namanya Kampung Gemas. Kampung Gemas ke, Kemas. Antara dua tu lah.
Bawak barang-barang yang dah di-unload dari lori menggunakan powiil. Tengoklah
ye gambar-gambar ni.
Bila lalu
jalan-jalan ni, macam tak percaya ada orang yang masih tinggal di dalam hutan
ini. Dalam kepala kita, macam mana dorang beli barang keperluan? Macam mana
anak dorang gi sekolah? Minyak petrol beli di mana? Dan pelbagai lagi soalan
yang hanya mampu dijawab oleh penduduk setempat. Malangnya, di penghujung
jalan, Moi maklumkan tak boleh lalui laluan sebab jalan mati. Kita pun tak
berapa faham apa yang berlaku di penghujung jalan tu, tapi konvoi akhirnya
berpusing semula keluar.
Melalui
walkie-talkie, Moi pun asyik cakap yang kita hanya merancang dan berusaha yang
termampu. Tapi tuhan yang menentukan semuanya, sedikit sebanyak dia suruh ahli
konvoi bersabar setelah terpaksa patah semula.
Jam pun hampir
menunjukkan pukul 6.15 petang, dan konvoi yang diketuai oleh Moi menuju ke
kampung yang lagi satu. Kita tak pasti apa nama kampung tersebut, tapi kami
tiba di masjid kampung tersebut dalam pukul 7 petang. Mengikut pemahaman kita,
kampung yang nak konvoi berhenti tu bukan kampung yang nak dituju. Sebaliknya,
kampung tu depan dan dalam lagi. Memandangkan, jalan utama ke kampung tu tak
boleh dilalui sebab tanah mendap ke, runtuh, kita pun tak pasti. Masih dalam
pembaikan.
Makanya,
barang-barang bantuan diturunkan di masjid dan ketua masjid/kampung tu
diamanahkan oleh pihak konvoi untuk menyampaikannya kepada kampung yang sepatut
menerimanya. Penduduk kampung yang terjejas akan mengambil barang bantuan dari
masjid dengan berjalan kaki, tak silap kita.
Selepas menunaikan
solat jamak Maghrib dan Isyak, konvoi pun bertolak semula ke based camp. Dalam
perjalanan, konvoi turut menurunkan dalam 10 set bantuan makanan dan lain-lain
untuk keluarga di Kg. Kemubu.
Kita tiba di based
camp dalam pukul 9 malam, dan kita tolong team dapur memasak. Memandangkan
driver powiil adalah chef, makanya kita pun tolong team dapur. Bila dah siap
buat apa yang patut, takde benda dah nak dibuat. Tinggal bahagian Chef Ijam
untuk mencampakkan apa yang patut ke dalam kuali. Kita pun pergi bersihkan
diri.
Malam masih awal
lagi, dalam 10.15 malam dan perut kita pun tak lapar. Mana taknya, asyik
mengunyah je dalam perjalanan. So, kita decide untuk tidur je lah terus. Kita
tidur dalam madrasah bersama dengan empat orang mak cik yang lain. Ada yang
ajak tidur dalam khemah, kita rasa takpelah. Esok senang bangun terus solat
dalam madrasah. Mak cik-mak cik tu baik, dorang siap bentangkan toto, ambil
selimut, kita tinggal landing je. Hehehe…Alhamdulillah :D
18 Januari, Ahad
Malam tu takde lah
sejuk sangat, tapi bila menjengah subuh tu, mak aih….sejuk sungguh sampai ke
tulang sum-sum. Memang dah macam kuih popia dah bergulung dalam selimut, dengan
sweater, stokinnya. Sebelum Subuh, dalam madrasah tu dah macam medley lagu-lagu
alarm dari henpon dah. Hehehe….Lepas Subuh, apa lagi, join team dapur tolong
buat sarapan.
Lepas tu, buat
sekali untuk makan tengah hari. Dalam pukul 12 tengah hari, dah settle semua.
Dapur pun dah siap khemas, khemah-khemah dah dibuka oleh para sukarelawan, dan
barang-barang semua memang dah siap kemas sebab petang nanti nak terus bertolak
balik ke KL. Kita pun pergi bersihkan diri, kemas barang-barang.
Sebelum Zohor,
konvoi bertolak ke Bertam. Sebenarnya, konvoi dipecahkan kepada dua kumpulan.
Kumpulan pertama dah gerak ke Kampung Kemubu untuk hantar barang bantuan, satu
lagi akan ke Bertam. Tapi bila dah lewat tengah hari ni, Kak Yazma kata, tunggu
team dari Kg. Kemubu balik ke based camp dan gerak sekali ke Bertam.
Sebenarnya, kita
lemah sikit nak ingat nama-nama tempat dan susah sikit nak faham macam mana
kawasan-kawasan ni dinamakan. So, kalau salah tu, ampunkanlah ya. Jangan bash kita. Hahaha.. :D
Sepanjang perjalanan
ni, mata dilihatkan dengan kemusnahan yang melanda kampung-kampung ini. Kampung
Bertam Lama, dan beberapa lagi. Menurut Encik Aidi, powiil yang kita tumpang
naik, penduduk di sini kebanyakan rumah mereka di tepi-tepi sungai dan laluan
kereta api. Sebab pengangkutan utama dorang bot/sampan kalau nak pergi ke
mana-mana. Budak-budak pun pergi ke sekolah naik kereta api. Makanya, bila
landasan kereta api musnah, memang sukar lah dorang pergi sekolah.
Ada kampung tu
lokasinya di atas bukit, tak musnah dek air banjir. Tetapi terputus bekalan
makanan, elektrik, air, dan perhubungan sebab tak boleh diakses. Laluan ke
kampung-kampung yang di atas bukit ni memang penuh dengan air, jalan raya
musnah, pokok yang tumbang lagi.
Memang perjalanan ke
Pasir Tumboh banyak henti-henti di tepi jalan sebab ramai budak-budak di tepi
jalan. Ada budak-budak yang tak berpakaian, telanjang boolat je. Kita tanya
pada kanak-kanak lelaki yang kita jumpa, "Mana baju? Pakai, nanti kena gigit
ulat baru tahu". Tersengih je budak tuh. Entahkan faham, entahkan tidak.
Tapi bila dorang dah dapat jajan, gembira ja. Itulah kanak-kanak, tak mengerti lagi :)
Ada juga keluarga
yang memang dah tunggu tepi jalan bila dah nampak konvoi yang bawa barang
bantuan. Antara barang yang banyak diminta ialah tikar. Tikar, tikar, dan
tikar. Tapi itu bukan lokasi yang ditarget untuk diturunkan barang bantuan.
Encik Aidi kata, "Takpe, masa balik nanti kita akan lalu lagi kawasan ni.
Nanti kita tengok apa yang boleh diberi".
Pintu masuk Sekolah Kebangsaan Pasir Tumboh |
Powiil kami pun
meneruskan perjalanan ke Pasir Tumboh. Jalan pun memang kecil, berbukit,
mendap, dan setiap kenderaan kena charge, charge, charge lagi. Kita tanyalah
Qistina, anak Encik Aidi, apa yang dimaksudkan dengan charge dalam konvoi ni.
Katanya, "Tambah lagi power, tingkatkan power untuk redah laluan tu".
Qistina tu, baru 16 tahun tetapi memang dah biasa ikut ayahnya masuk hutan
untuk pelbagai tujuan. Kebiasaannya, mereka masuk hutan untuk jumpa orang Asli
dan menyampaikan bantuan serta dakwah. Subhanallah, hebat!
Powiil berhenti
bertanyakan mana anak beranak ni mahu pergi. Dorang nak pergi mandi. Menurut
bapanya, air bersih tiada hampir sebulan dah. Terputus sejak bah besar melanda
kampung mereka. Bila kita ambil gambar dorang, bapanya cakap, "Eh,
takyahlah ambil gambar. Tak mandi lagi nih". Senyuman masih mampu
diukirkan meskipun keadaan tak memihak pada mereka. Hahaha...kita senyum je.
Tabah sungguh mereka.
Dalam kita tengah
tengok orang kampung, ada budak perempuan ni datang tanya pukul berapa. Kita
cakap dalam pukul 2.30 petang, tak silap kita. Tanyalah, "Kenapa
Dik?". Budak tu pergi ke arah maknya, cakap waktu pukul berapa. Kita ikut
budak tu dan ulang soalan yang sama pada maknya. Maknya kata, "Dah nak
masuk sekolah dah ni. Tapi nak tunggu ambil baju sekolah dari bantuan ni, nak
pakai ke sekolah". Ooohh..macam tu. Budak perempuan tu pun macam dah
keresahan. Errmmm...Sabarlah dik...
Ucapan ringkas berisi dengan nasihat turut diberikan
oleh Encik Yazmi dan Moi kepada penduduk kampung. Intipati ucapan Moi, untuk
membangunkan kampung ini semula, bukannya perlu tunggu saja orang luar hantar
sukarelawan-sukarelawan masuk untuk bersihkan kampung mereka. Sebaliknya,
penduduk-penduduk sendiri kena bergerak untuk baiki semula kampung mereka.
Yelah, ini tanah mereka sendiri, kat sini tempat mereka lahir, tempat mereka
hidup, dan mungkin tempat mereka menghabiskan hayat mereka. Siapa lagi kalau
bukan penduduk sendiri yang bekerjasama membaiki kemusnahan yang berlaku. Encik
Yazmi turut menasihatkan, anggap ini sebagai pengajaran dan menguatkan lagi
pergantungan seorang hamba kepada Sang Pencipta yang Agung, Allah SWT.
Imarahkan masjid beramai-ramai, dan jangan putus doa.
Bergambar kenangan dengan penduduk kampung |
Setelah selesai
semuanya, dalam pukul 4 petang, kami semua bertolak pulang ke based camp. Dalam
perjalanan pulang tu, berhenti lagi di kampung Bertam Lama. Kasi tikar, pada
yang memerlukan. Lepas tu, ada sebuah keluarga, suami isteri beserta anak dan
ibu tua mereka duduk di tepi longkang. Berhenti untuk hulurkan jajan pada anak
kecil tu, tanyalah ayahnya, "Mana rumah?" Ditunjukkan pada satu arah,
tapi yang kita nampak macam longgokan besar kayu-kayu. Tiba-tiba isteri dia
pusing belakang sambil tundukkan kepala. Menangis, dah tak mampu nak cakap
apa-apa. Kita pun terkedu jugalah bila dia bereaksi macam tu, sebab rasanya
banjir yang melanda tu dah hampir 3 minggu berlalu. Tetapi rasa sedih tu masih
penuh di dada si isteri tu lagi. Ibu tua yang ada tu ceritalah, yang tangannya
sakit. Tapi, apalah yang mampu kitorang lakukan. "Sabar dan
berdoalah", itu yang mampu diucapkan. Memang dah tiada khemah, tikar atau
apa lagi nak diberikan pada keluarga tu. Kemudian Encik Aidi keluar dari powiil
ke belakang dan keluarkan sesuatu dari belakang kenderaan. Rupa-rupanya, khemah
Qistina, diberikannya kepada keluarga tu. Memangla tak muat untuk satu
keluarga, tapi sekurang-kurangnya ada sesuatu untuk mereka.
Perjalanan ke based
camp diteruskan dan masih ramai kanak-kanak melambai-lambai di tepi kiri kanan
jalan. Encik Aidi kata, "Kalau dorang lambai tu, kita kena berhenti
sekurang-kurangnya tanya apa yang dorang nak". Tikar, tikar, dan tikar.
Tikar dah habis, kasi susu, botol susu, kasi telekung, kain sembahyang je yang
tinggal. Dipesan oleh Encik Aidi pada mereka, "Bencana, bencana juga.
Sembahyang jangan tinggal".
Bila dah sampai
based camp, solat dan bersiap-siap untuk pulang ke KL. Dalam pukul 7 petang,
tayar rolling dan berhenti kejap ambil gambar konvoi.
Berhenti di masjid, tak ingat masjid apa namanya untuk solat jamak Maghrib dan Isyak. Dalam masjid tu, kita tengok ada banyak giler pakaian tapi tak di-sort lagi. Mungkin pakaian yang telah didermakan, tapi tak dikemas. Macam bergumpal-gumpal je, dan ada juga beberapa orang penduduk bermalam dalam masjid. Lepas solat, ada kakak tanya, ada toto tak? Sebab ada keluarga minta toto, dorang takde mungkin untuk dijadikan alas tidur. Kita kata tiada, sebab powiil memang dah kosong dan barang-barang dah memang clear.
19 Januari, Isnin
Dalam perjalanan
pulang, Chef Ijam cakap, konvoi ada terlepas pandang sebuah kampung yang
berhampiran dengan based camp kami. Kampung tu ada 13 keluarga, dan lokasinya
memang ceruk, ceruk sangat. Tiada bantuan sampai lagi ke situ. Konvoi
dimaklumkan mengenai kampung tersebut oleh seorang guru dan beberapa wakil
konvoi dibawa menggunakan kereta pajero guru tu untuk pergi ke kawasan tu.
Menurut Chef Ijam, memang menyedihkan keadaan keluarga-keluarga kat situ. Selut
yang setebal buku lali orang dewasa masih memenuhi rumah mereka. Apa yang
diminta oleh penduduk di situ? Water jet dan alat-alat untuk membersihkan rumah
mereka. Tiada bantuan lagi tiba, anak-anak tak dapat pergi ke sekolah sebab
tiada pakaian. Tidur mereka pun di atas selut yang memang dah mengeras tu.
Alahai….Chef Ijam kata mereka akan rancang perjalanan untuk hantar barang
bantuan khas untuk 13 keluarga tu, memang tak boleh tunggu 2-3 minggu lagi.
Silap-silap, hujung minggu ni pergi. Kak Yazma sebagai wakil PKAS pun dah
tawarkan untuk membantu mencari dana.
Beberapa powiil
mengalami masalah ketandusan diesel sebab kebanyakan diesel di stesen-stesen
minyak di Gua Musang dah habis. Chef Ijam dah isi di Shell sebelum kami tiba di
Gua Musang, makanya memang dia bersyukur lah sebab dia dah isi. Pukul 12 tengah
malam, kami masih lagi di Gua Musang. Para pemandu dan penumpang makan dulu
sebelum meneruskan perjalanan. Separuh konvoi ikut laluan Kuala Lipis, dorang
dah gerak dulu. Kita termasuk konvoi yang ikut laluan Lojing, ada sebelas
powiil.
Kita hanya
melelapkan mata sepanjang perjalanan pulang, tekak pun dah sakit. Kitorang
semua tidur, tinggal Chef Ijam je drive. "Mata dah rabak, mata dah
rabak", banyak kali Chef ulang. Konvoi berhenti di Cameron Highlands,
dalam mamai-mamai kita nampak signboard ladang strawberry. Ada yang keluar
kereta tengok pemandangan, entah nampak ke tidak. Pukul 2 pagi, takkan
nampaknya strawberry. Pukul 3.30 pagi, kita tersedar yang semua konvoi tengah
berhenti di Stesen Petronas Ipoh. Tak tahu berapa lama berhenti, mungkin semua
tengah tidur.
Pukul 4 pagi, konvoi
rolling dah. Pukul 5.30 pagi, konvoi semua berhenti di Perhentian Rawang, tak
silap kita. Chef Ijam tidur, katanya, kereta dah ke kiri, ke kanan, ke kiri, ke
kanan dah. Mengantuk sangat. Lepas solat Subuh, barulah gerak semula. Sampai di
PKAS dalam pukul 8.30 pagi, dan kita tumpang Kak Yazma untuk ke Stesen LRT
untuk pulang ke rumah. Dalam 11.30 pagi, barulah sampai rumah. Alhamdulillah.
Apa yang dapat dari pengalaman ini?
Alhamdulillah,
bersyukur kepada Allah kerana berpeluang sertai konvoi ini ke Dabong, Kelantan.
Selama ini, semua visual kesan-kesan banjir yang dipaparkan di televisyen,
surat akhbar, media sosial, akhirnya kita dapat tengok dengan mata kepala
sendiri. Dapat kita jejakkan dua kaki ini ke kawasan yang terjejas dengan
bencana ini. Tiada air mata yang dititiskan dalam misi ini bukanlah maksud kita
berhati kering. Cuma entahlah, rasanya semua dah sedia maklum dengan keadaan
mereka. Menitiskan air mata tak dapat membantu mereka, tetapi doa boleh,
InsyaAllah. Bagi yang mampu, sumbangan material mungkin boleh dihulurkan.
Bila pergi sendiri,
dapatlah kita meminjamkan telinga kita bila ada atok kongsi cerita di kedai
kopi. Meskipun tak berapa faham disebabkan loghat, sekurang-kurangnya bolehlah
dibawa berbual. Ada mak cik-mak cik yang berulang kali berterima kasih sebab sudi
lawat kampung mereka. Macam bagi kita, takde benda pun yang kita buat. Tapi
pada pandangan kita, bila orang luar datang, sekurang-kurangnya dapat melegakan
hati mereka sedikit kerana mereka tahu dunia luar sudah mula menyedari kewujudan mereka
dan situasi yang mereka sedang lalui. Selama ini, kita sendiri pun tak tahu
kewujudan kampung-kampung ini, tapi bila dah banjir melanda, dan dapat datang
sendiri, barulah kita tahu.
Okey, rasanya itulah
setakat ini. Panjang berjela pula rasanya. Terima kasih kerana membaca. Jom
sama-sama berdoa agar diberikan kekuatan, ketabahan, dan kesabaran kepada
mereka yang terkesan dengan bencana ini. Meskipun akan tiba saat di mana
kepayahan mereka sudah tidak lagi diviralkan di televisyen, surat khabar, dan
media sosial, harapnya kita semua masih tidak lupakan mereka. Mereka di sana masih
bergelut meneruskan kehidupan.
Salam w.b.t dan jaga
diri!
P/S - When the
government says do not panic and everything is under control, actually
that is the time when everyone should be panicked and prepare for the worse. Semoga
semuanya bertambah baik, baik dari segi kehidupan dan ekonomi.
No comments:
Post a Comment
What is on your mind? Share it with me :D